loading...
Penyanyi dan pelakon Elly Mazlein berasa gembira dapat merealisasikan majlis cukur jambul serta majlis kesyukuran buat anak perempuannya, Putri Zara Sefhia, 11 bulan, di kediamannya di Cyberjaya. Ini merupakan majlis pertama Sefhia sejak dilahirkan pada 9 Mac tahun lalu.
Sejak akhir tahun lepas, kisahnya marak dibakar sensasi dek perang yang bagaikan tiada berkesudahan dengan bekas suami, Azmi Mohd. Hatta. Hujung minggu lalu pula nama Elly Mazlein kembali panas dengan sebuah cerita baharu.
Menerusi ruangan pojok sebuah akhbar mingguan, namanya tiba-tiba 'dipetik' sebagai sedang menjalin cinta dengan seorang jejaka yang tidak pula dinyatakan sebarang identiti.
Ketika ditemui media pada majlis tersebut, bekas peserta Gegar Vaganva musim ketiga itu mulanya enggan memberikan sebarang komen terhadap isu tersebut.
Bagaimanapun, pemilik nama asal Sharifah Aida Mazlina Syed Hanapi, 37, itu menjelaskan, sebagai wanita dan manusia biasa, hatinya kini terbuka untuk kembali bercinta. Dia juga tidak serik untuk berkahwin lagi walaupun pernah melalui episod hitam keruntuhan rumah tangga pada 2015.
Tidak perlu terdesak atau terburu-buru, Elly menyerahkan soal jodoh sebagai ketentuan Allah. Buat masa ini dia cukup bahagia dengan kehidupan sebagai ibu tunggal di samping anak dan bapanya.
Selain itu dalam perkembangan lain, Elly juga bakal muncul dengan sebuah single dan drama terbaharu serta produk kecantikan jenamanya sendiri.
Ingin tahu lebih lanjut, ikuti temubual Elly Mazlein bersama media:-
MEDIA: Sudah berapa lama Elly Mazlein merancang untuk mengadakan majlis akikah dan cukur jambul anak?
ELLY MAZLEIN: Ikutkan rancangannya sudah lama tetapi baru sekarang ada rezeki dan masa untuk saya buat majlis untuk Sefhia. Sekurang-kurangnya adalah kenangan apabila dia besar nanti. Persediaannya tidak lama, syukurlah ramai yang membantu, selain mendapat tajaan seperti pelamin daripada Damalee Wedding.
MEDIA: Adakah anda tidak mengundang bekas suami ke majlis ini?
ELLY MAZLEIN: Sebenarnya majlis ini dirancang oleh bapanya (Hatta) tetapi sehingga Sefhia berusia 11 bulan, tiada sebarang perkembangan, jadi saya kena buat sendiri.
Soal undang bekas suami, dia sepatutnya tahu kerana awal-awal lagi saya telah muat naik tentang majlis ini menerusi Instagram.
Namun, tiada sebarang respons daripadanya. Walaupun kami telah bercerai, Sefhia masih anak kandungnya. Saya tiada masalah jika dia hadir kerana faktanya dia adalah bapa kepada Sefhia.
MEDIA: Bagaimana pula hubungan anda dengan bekas suami?
ELLY MAZLEIN: Dia ada datang ke rumah untuk bertemu Sefhia tetapi sekali sahaja sebelum senyap sampai sekarang. Namun, dia ada memberi nafkah kepada anak. Selepas hak anak diberi, saya tiada ada masalah dengannya. Itu sahaja yang saya mahukan daripada seorang bapa yang bertanggungjawab terhadap anaknya.
MEDIA: Menurut ruangan gosip baru-baru ini, anda dikatakan sedang hangat bercinta, boleh jelaskan?
ELLY MAZLEIN: Saya tidak mahu komen mengenai isu tersebut, namun sebagai wanita dan manusia biasa, saya pun ada hati dan perasaan. Andai ditakdirkan bertemu jodoh sekali lagi, saya tidak menolak. Cuma buat masa sekarang fokus saya hanyalah untuk kerjaya seni dan membesarkan anak sebaik mungkin.
MEDIA: Boleh kongsikan perkembangan terbaharu kerjaya seni anda?
ELLY MAZLEIN: Tidak lama lagi saya akan merakam single baharu terbitan KRU. Saya menerima sahaja lagu mereka kerana yakin dengan kualiti kerja KRU, cuma saya letakkan syarat perlu ada identiti saya dalam lagu berkenaan. Saya juga akan muncul dengan drama rantaian slot Samarinda. Bagaimanapun, ia masih dalam perbincangan dengan pihak produksi.
MEDIA: Khabarnya anda juga bakal bergelar seorang usahawan produk kecantikan, benarkah?
ELLY MAZLEIN: Memang benar, sekarang saya dalam proses untuk mengeluarkan produk kecantikan sendiri. Sebagai permulaan, saya akan mengeluarkan sabun kecantikan yang dinamakan Lina Poms Poms Soap. Ia akan dijual pada harga RM24.90 seunit dan berada di pasaran serentak seluruh Malaysia bermula 17 Februari nanti.
MEDIA: Bagaimana idea menghasilkan produk kecantikan boleh tercetus?
ELLY MAZLEIN: Ini merupakan impian saya sejak lama. Sebelum jadi artis, saya pernah hidup susah. Naluri wanita ingin kelihatan cantik tetapi tidak mampu beli produk yang mahal. Sebab itu apabila keluarkan produk sendiri, saya letak harga mampu milik supaya semua orang boleh membeli.
Alhamdulilah tanpa sebarang promosi, saya sudah ada 40 stokis di seluruh negara. Doakan yang terbaik buat saya.
loading...
0 Response to "KINI VIRAL : 18 FOTO - ELLY MAZLEIN ADAKAN MAJLIS CUKUR JAMBUL & MAJLIS KESYUKURAN"
Post a Comment