loading...
Kematian semestinya memberi kesan. Kesedihan, kesakitan, kehilangan, iktibar dan pengajaran antara emosi yang bertandang, bercampur baur, silih berganti.
Itulah yang dirasakan apabila rakan sekerja, Kamarul Efindi Badarudin dijemput menghadap Ilahi pada usia 40 tahun, kira-kira jam 5 petang Selasa lalu akibat penyakit barah kelenjar.
Berada di sisi ketika Allahyarham menghembuskan nafas terakhir dan ‘menemaninya’ sehingga jasad dihantar ke kuburan antara kesempatan berharga yang Allah kurniakan untuk saya beroleh keinsafan.
Bagaimanapun, bukan pengalaman itu yang ingin dikongsikan di sini, sebaliknya ada kisah duka yang bermula lebih awal, kira-kira 70 jam sebelum itu sebagai pengiktibaran untuk kita semua.
Menurut seorang ahli keluarganya, kira-kira jam 8 malam Ahad 25 Disember, Allahyarham dibawa ke sebuah hospital swasta yang popular di ibu kota selepas diserang sakit kepala dan sukar bernafas.
Hospital popular itu menjadi pilihan kerana Allahyarham pernah menerima rawatan awal di situ dan beberapa kali dimasukkan ke wad sejak dia dikesan menghidap barah hampir dua tahun lalu.
Sebaik tiba di unit kecemasan, anggota keluarga diminta membayar wang pendahuluan sebanyak RM500 untuk membolehkan rawatan diberikan dan syarat itu dipenuhi tanpa sebarang bantahan.
Selepas pemeriksaan, disahkan Allahyarham perlu rawatan lanjut namun sebelum boleh dimasukkan ke wad, perlu ada surat jaminan (GL) daripada syarikat insurans yang memberi perlindungan kepada Allahyarham.
Syarikat insurans segera dihubungi dan diminta menghantar GL yang diperlukan, namun sehingga hampir jam 11 malam pihak pengurusan hospital memberitahu mereka masih belum menerimanya.
Ketika itu, keadaan Allahyarham semakin tenat, namun peraturan menetapkan dia tidak boleh menerima rawatan jika tiada GL. Satu lagi pilihan, pihak keluarga perlu membayar wang pendahuluan sebanyak RM5,000.
Demi nyawa insan tersayang, wang RM5,000 itu berjaya disediakan dan sepatutnya Allahyarham sudah layak menerima rawatan lanjut, namun malangnya itu tidak berlaku.
Seorang doktor memberitahu pihaknya tidak boleh menerima Allahyarham kerana mengesan ada ‘kemo pad’ tertanam di tubuhnya.
Katanya, objek berkenaan bukan milik hospital itu, jadi Allahyarham perlu dibawa ke hospital yang memasang ‘kemo pad’ itu dan memberi rawatan kemoterapi kepadanya sebelum ini.
Ya, selepas hampir empat jam ‘terkandas’ di unit kecemasan dengan dikenakan pelbagai syarat dan peraturan, kata akhirnya ialah Allahyarham tidak boleh diterima sebagai pesakit di situ.
Kira-kira jam 12.15 tengah malam, ahli keluarga terpaksa akur dan membawa Allahyarham keluar dari hospital berkenaan sedangkan sejumlah RM380,000 sudah dihabiskan kepada hospital sama untuk beberapa siri rawatan sejak hampir dua tahun lalu.
Keesokannya, pada jam 10.30 pagi, Allahyarham dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM) yang sebelum ini dikenali sebagai Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).
Tiada masalah dengan hospital ini, cuma agak mengecewakan ia rupa-rupanya dikategorikan pusat rawatan separa kerajaan dan tidak termasuk dalam senarai hospital panel syarikat insurans tersohor yang dibayar premium setiap bulan oleh Allahyarham. Jadi segala kos perubataan atas pembiayaan sendiri.
Awal pagi Selasa, kira-kira jam 4.30 pagi, keadaan Allahyarham semakin kritikal dan terpaksa dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.12 petang hari yang sama.
Tiada siapa mampu menolak ketibaan ajal, namun yang ingin diketengahkan di sini ialah realiti hukum kehidupan pada masa ini yang banyak ditentukan oleh kemampuan kewangan kita.
Tatkala sudah nyawa-nyawa ikan pun, soal duit dan kewajipan mematuhi peraturan masih menjadi pegangan petugas hospital hingga nilai kemanusiaan dicampak ke tepi, sama ada secara disedari atau tidak.
Saya termanggu mengenangkan detik akhir kehidupan Allahyarham sahabat saya ini. Dia berkerjaya, berpendapatan stabil dan membeli perlindungan insurans kesihatan sebagai langkah persediaan, namun itu semua nyata belum mencukupi.
Apa yang dilalui Allahyarham mengajar kita supaya perlu lebih bijak dan teliti kerana perlindungan insurans yang kita beli ada ketikanya tidak seperti disangka.
Jangan mudah terpengaruh dengan tutur kata si ejen yang penuh bermadu. Pampasan, perlindungan dan keistimewaan dijanjikan mungkin sebenarnya ada banyak syarat dan kos tersembunyi.
Yang pasti, dalam kehidupan moden kini, kesihatan, hospital dan kewangan adalah ‘sahabat tiga serangkai’ yang tidak boleh dipisahkan.
Jika golongan berpendapatan rendah, fakir, miskin dan serba kekurangan ditakdirkan menghidap penyakit kritikal serta kronik, bayangkanlah kesukaran terpaksa dihidapi mereka.
Hakikatnya, wang bukan segala-galanya, tapi dalam kehidupan kini segala-galanya memerlukan wang.
loading...
0 Response to "Sayu : Setelah 2 tahun bertarung nyawa akhir nya Andi pergi .. Cerita duka nya sebelum kematian (4Gambar)"
Post a Comment